Rabu, 9 Jun 2010





Sekolah Kebangsaan Kijal atau lebih dikenali sebagai Sekolah Melayu pada ketika itu telah dibina pada tahun 1926 bertempat di Kampung Tengah Kijal. Bangunan sekolah ini telah didirikan dengan kerjasama penduduk Kampung Kijal dan dibuka dengan rasminya oleh Yang Berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kemasik, Dato' Sangsurang bersama-sama guru kumpulan Timur Kemaman atau lebih dikenali sebagai Pegawai Pendidikan Daerah.

Semasa sekolah dibuka bilangan muridnya ialah seramai 61 orang dan semuanya lelaki serta mempunyai seorang guru iaitu En. Abdul Rahman bin Abd Hamid. Pada tahun 1930 Sekolah Melayu Kijal ini telah berpindah ke Kampung Ibai, Kijal dan kekal sehingga sekarang. Jarak sekolah dari Pusat pentadbiran Daerah (Chukai, Kemaman) ialah 21 km dan dari pusat pentadbiran negeri Terengganu ialah 137 km. Bangunan separuh kekal telah didirikan oleh Pejabat Pelajaran Teregganu yang hanya berasaskan kayu, beratapkan nipah dan berukuran 60 kaki X22.5 kaki. Pada tahun 1957 iaitu bersamaan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Pejabat Pelajaran Terengganu telah mendirikan sebuah lagi bangunan tambahan yang berukuran 90 kaki X 22.5 kaki dan mengandungi 3 bilik darjah. Bangunan tersebut berlantaikan simen, berdindingkan papan beratapkan bata dan terletak berhampiran rumah guru. Memandangkan jumlah murid telah bertambah dari setahun ke setahun, menjelang akhir 1957 sebuah lagi bangunan baru telah didirikan oleh Pejabat Pelajaran Terengganu dengan kerjasama Kebajikan Masyarakat Tanah Melayu. Bangunan yang baru dibina ini adalah berasaskan batu sepenuhnya dan berukuran 225 kaki X 22.5 kaki dan mengandungi 6 bilik darjah, satu ruang pejabat dan bilik Guru Besar, satu bilik guru, satu bilik SRT, satu stor dan 7 buah buah tandas yang dibina berasingan. Bangunan baru itu telah dirasmika oleh Menteri Muda Pelajaran Tanah Melayu iaitu yang berhormat Kapten Abdul Hamid Khan pada 11 April 1960.Pada tahun 1979 Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendirikan bangunan tambahan terdiri daripada 2 buah unit rumah guru, sebuah kantin berukuran 30 kaki X 60 kaki sebuah bangunan 2 tingkat yang berukuran 110 kaki X 23 kaki yang mengandungi 3 bilik darjah, satu bilik perpustakaan , satu ruang pejabat dan bilik Guru Besar, sebuah stor dan 2 buah tandas. Pembinaan bangunan baru ini telah menelan belanja sebanyak RM141,000.00 dan mula digunakan 4 Januari 1981. Untuk meringankan beban ibu bapa, pihak Kemanterian Malaysia telah membina asrama desa yang dilengkapi dengan kemudahan asas termasuk sebuah dewan makan dan 2 buah tandas dan mula digunakan Mac 1995.Pada zaman pemerintahan Jepun sekolah ini pernah dijadikan tempat rehat Tentera Jepun sebelum meneruskan perjalanan ke Selatan Tanah Melayu. Pada 21 Jun 1990 sekolah ini telah dilawati oleh Yang Berhormat Encik Anuar Bin Ibrahim, Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu sempena mesyuarat Agung Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG) sekolah ini disamping beramah mesra dengan ibu bapa. Sekolah ini telah banyak mengalami detik-detik kegemilangan dalam kokurikulum di antaranya telah menjadi johan bola sepak Jajahan Kemaman pada tahun 1959, naib johan Negeri Terengganu dalam pertandingan sepak raga jaring pada tahun 1960, johan peraduan senaman pada tahun 1947. Manakala 1990 sekolah ini telah menjuarai pertandingan Gimrama Peringkat Negeri Terengganu. Dalam bidang hoki pula sekolah ini tiada tolok bandingnya apabila telah menjuarai hoki peringkat Negeri Terengganu selama 3 tahun berturut turut iaitu pada tahun 1995, 1996 dan 1997 apabila telah menjadi Johan MSSM Hoki dilangsungkan di Kuantan,Pahang. Dalam bidang Akademik pula telah ramai bekas muridnya yang berjaya ke menara gading dan menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta. Pada 2007 sekolah ini mempunyai bangunan yang tersergam indah dan dapat menampung murid dengan keramaian 910 orang dan 53 orang guru serta 9 orang kakitangan sokongan. Semoga Sekolah Kebangsaan Kijal akan terus membangun seiring dengan agenda negara dalam menuju alaf baru abad ke 21 dengan gemilangnya.